Dr Moja?

on 25.6.12

Ramai yang tanya tukar profession ke? hehe sebenarnya takde bajet nak hire plakon tambahan so krew videographer sendiri yang berlakonl watak-watak sampingan. 

Video clip arahan abang fairuzainal ni cuba untuk keluar dari tipikal muhasabah = sedih-sedih sahaja tetapi kepada perubahan sifat dan amal yang lebih baik. Yup, penceritaan dia boleh dibaiki lagi, mungkin kerana pembikinan yang agak tergesa-gesa dan last minit (untuk penuhi jadual edcoustic yang ada di Malaysia tak sampai seminggu). Apa-apa pun pengalaman baru buat kami.

Selamat memuhasabah cinta!


Tinggal

on 23.6.12

Ya Allah,
Kuatkan hatiku,
Teguhkan Langkahku,
Kuserahkan mereka pada Mu,
Terimalah Keputusanku ini

Bismillahi tawakkaltu 'alaLah.



&


Muhasabah Aceh

on 30.5.12

Malam terakhir di Aceh.

Masih belum dapat melelapkan mata. Besok seawal jam 9 pagi perlu bergerak ke lapangan terbang  Sultan Iskandar Muda untuk kembali ke tanah air. Mungkin penangan kopi Aceh awal malam tadi. Tetapi ada sesuatu yang lebih besar penangannya dari secangkir kopi uleng kareng yang sangat lazat tadi, sesuatu yang begitu kuat sehingga memaksa diri ini berwhudu' dan mendirikan solat dua rakaat. 


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ  
( 2 : 153)

Masjid Rahmatullah

Sejak selesai solat Maghrib dan Isya' di Masjid Rahmatullah di desa Lampuk, Lhok Nga, Aceh Besar tadi ada sati bisikan halus yang menyapa hati ini. Satu bisikan yang seolah-olah mahu menggali kembali ruang memori yang telah lama tidak tersentuh. Oh ya sebelum terlupa, Masjid ini adalah salah sebuah masjid begitu masyhur dengan kisah bagaimana ia dilindungi oleh Allah dalam peristiwa tsunami yang telah meragut ratusan ribu nyawa dan memusnahkan sebahagian besar kota Aceh. Saya pernah tiba di Masjid yang sama sekitar hujung 2005 kira-kira setahun setelah tsunami melanda bumi Serambi Mekah ini. Ia adalah dalam rangka misi bantuan kemanusiaan bersama adik-adik lepasan SPM Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor "Road2Aceh" . Pada ketika itu persekitaran masjid ini masih seperti padang jarak padang terkukur. Ketika itu setiap langkah pun akan membuat kita beristighfar dan menginsafi kekuasaan Allah, mendengar cerita dari mulut mereka yang melihat sendiri ombak menggulung setinggi lima meter dan menghempas rumah dan ahli keluarga mereka cukup menginsafkan. Bahasa mata mereka sahaja sudah cukup menggetarkan jiwa apatah lagi butir suara mereka yang menggetarkan telingan dan menusuk ke lapisan kalbu paling dalam.

Seorang warga tempatan termenung di bawah kapal yang tersadai diatas sebuah rumah kira-kira 2 KM dari laut, mengenangkan peristiwa yang telah meragut 4 orang anaknya dan memisahkan beliau dengan isterinya selama seminggu | Jaulah Aceh Darussalam | abuikram.com

Semenjak kembali dari Aceh buat kali pertama dahulu, terasa sangat dekat dengan Allah. Terasa setiap gerak dan derap langkah dalam perhatianNya. Bermotivasi dalam setiap gerak kerja kerana begitu yakin perancangan Allah itu lebih dari segala-galanya usaha kita hanyalah pelengkap asbab dan musabbab dalam sunnatullah. Dengan spirit itu banyak jalan-jalan yang telah Dia bukakan untuk mencapai segala yang tidak pernah terjangkan dengan akal cetek ini. Nekad, keazamaan serta pergantungan kepadaNya itu membawaku ke serata pelosok dunia dengan pelbagai warna-warni pengalaman. Pernah ditahan tentera Hizbullah di Lubanan, disoal siasat di lapangan sempadan darat Halab, mengembara menuntut ilmu dan hikmah secara back-pack dari Amman  ke Istanbul, ditipu sehingga 20 ribu ringgit ketika seronok berniaga pada umur 20 tahun, mendirikan rumah tangga seawal usia 21 tahun. Allah Maha Mengetahui apa yang dia rancangkan untuk hambanya ini. Sunggu Aceh banyak mempengaruhi peta hidup ku meskipun hanya dua minggu berada dia sana.


Masjid Berwajah Baru

Setelah lebih 6 tahun berlalu, hari ini Masjid Rahmatullah dijejaki kembali. Perancangan Allah siapa yang tahu? Tiket kapal terbang Air Asia ini telah ditempah setahun lalu. Sebenarnya saya sudah hampir terlupa tentang rancangan ini sehingga seminggu sebelum tarikh penerbangan. Kalut meminta cuti dan urusan lain. Allah telah mengaturkan supaya sampai semula ke sini tanpa kami merangcangnya.

Masjid Raya Rahmatullah sentiasa makmur, masjid yang diselamatkan Allah ketika tsunami tahun 2004 yang memusnahkan seluruh kawasan sekitarnya | Jaulah Aceh Darussalam | abuikram.com
Masjid Rahmatullah kini tesergam indah dan masih di makmurkan oleh penduduk tempatan. Sebaik sahaja melangkah masuk kedalam masjid ini, tingkap-tingkap memori yang lama tidak terusik mula terbuka. Wajah anak-anak darul aytam 1,2 dan 3 mula melintas, merekalah antara yang membakar keazamanku satu ketika dahulu  dan mereka jugalah yang pertama menyanyikan lagu Semerah Saga dari kumpulan SouHar yang akhirnya menjadi lagu tema hidupku bertahun-tahun lamanya. Juga terkenangkan Abg Dhony, Abg Jono dan lain-lain.

Muhasabah

Kenangan manis ini sangat bermakna tetapi ia membuatkan ku terfikir...apa yang sudah terjadi pada diriku hari ini? masa hilangnya semangat itu selama ini? mana pergantunganku pada Tuhan? mana? tiada jawapan..
Ketika cuba melelapkan mata setelah selesai memuatnaik gambar-gambar ke Facebook, tiba-tiba datang banyangan Tsunami dan Gempa Bumi. Cukup mendebarkan, banyangan kematian muncul dan apa yang mampu kau lakukan? pasrah dengan kematian itu bisa dibayangkan tetapi untuk berdepan dengan Tuhan dengan secubit amalan dan bergunung dosa? tidak lansung berani untuk dilintaskan. Terbanyang segala janji-janji dengan Tuhan yang belum dikotakan, amanah pada manusia yang belum dilaksanakan. Mana mungkin layak ke syurgaNya! Sesuatu perlu dimulakan untuk menyiapkan diri pada kematian dan ia perlu bermula sekarang. Aku mahu kembali kepadanya dengan redha dan diredhai.


Whudu' dan 4 rakaat solat membawa aku ke laptop ini di saat anak dan isteri sudah lama dibuai mimpi.

Mencari semangat yang hilang.
30 Mei 2012
3.20 pagi
Hotel Medan,Aceh Darul Salam



Tarbiyah Dzatiyah

on 21.4.11




Tarbiyah Dzatiyah (Self-Tarbiyah)


Disusun berdasarkan buku:

At-Tarbiyah adz-Dzatiyah Ma'alim wa Taujihat, oleh Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan.

  1. Definisi Tarbiyah Dzatiyah:

"Sejumlah wasilah Tarbiyah yang diberikan seorang Muslim kepada dirinya sendiri, untuk membentuk keperibadian Islam yang sempurna (Ilmu, Iman, Akhlak, Sosial dll) dan naik tinggi ke tingkatan kesempurnaan sebagai manusia."


  1. Ringkasnya, Tarbiyah seseorang terhadap diri sendiri, oleh dirinya sendiri (Self-Tarbiyah).
  2. Tarbiyah Dzatiyah merupakan penerusan terhadap Tarbiyah Jama'iyah (Usrah, Mabit, Daurah, Mukhayyam dll) yang telah diikuti oleh kita.
  1. Kepentingan Tarbiyah Dzatiyah:


    1. Menjaga diri sendiri mestilah didahulukan daripada menjaga orang lain.

      "Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…"
      (At-Tahrim 66: 6)

    2. Jika kita tidak mahu mentarbiyah diri sendiri, siapa yang akan mentarbiyah kita?

      "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)…"
      (Al-Hasyr 59: 18)

    3. Hisab Allah SWT di Hari Akhirat kelak bersifat individual.

      "Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri."
      (Maryam 19: 95)


    4. Tarbiyah Dzatiyah sangat efektif kerana kitalah yang paling mengetahui keadaan diri sendiri (Keaiban, kelemahan, Dosa-dosa dan Maksiat yang dirahsiakan) sehingga kita dapat mendidik diri agar mampu menanganinya.
    5. Tarbiyah Dzatiyah adalah wasilah untuk kita terus Tsabat dan Istiqamah dengan ajaran Islam (walau ketika berseorangan dan jauh dari Murabbi/ikhwah).
    6. Tarbiyah Dzatiyah sangat penting kerana ia merupakan salah satu cara yang efektif untuk mendakwahi orang lain. Peribadi yang sentiasa menjadi Qudwah dalam keimanan, akhlak, keilmuan, ibadah dll terhasil antaranya melalui Tarbiyah Dzatiyah.
    7. Tarbiyah Dzatiyah jugalah yang diperlukan untuk memperbaiki realiti umat hari ini yang kian rosak. Setelah individu-individu ini baik keislamannya, maka akan berlaku perubahan di peringkat keluarga, masyarakat dan negara (Bertambah cepat bila digabungkan dengan Tarbiyah Jama'yah).
    8. Tarbiyah Dzatiyah sangat istimewa kerana ia mudah dilakukan, ada pelbagai wasilah dan tidak bergantung kepada masa atau tempat tertentu. (Usrah perlukan masa tertentu, kehadiran orang-orang tertentu dan di tempat tertentu.)


  2. Kenapa Tidak Peduli akan Tarbiyah Dzatiyah?


    1. Minimumnya ilmu Keislaman. Dalam Al-Quran dan Sunnah banyak sekali arahan agar kita mentarbiyah diri sendiri (menjaga keimanan, iltizam dengan ibadah dan berakhlak mulia).
    2. Tidak jelas akan matlamat hidup di dunia ini. Kita akan hidup dengan mengikut-ikut trend manusia kebanyakan dan tidak peduli dengan usaha pembaikan keislaman diri dan pembersihan jiwa.
    3. Hanyut dengan kehidupan dunia. Kita terlalu leka dengan kesibukan dunia dan tuntutannya sehingga kita terlupa (atau ala kadar) untuk beribadah kepada Allah SWT dan memenuhi tuntutan-Nya.
    4. Salahfaham terhadap Tarbiyah Dzatiyah dengan menganggap ia akan membebankan dan menuntut masa yang banyak sehingga menggangu kehidupan seharian kita. Atau juga merasakan bahawa kita telah laksanakan ibadah-ibadah wajib, jadi kenapa masih perlu Tarbiyah Dzatiyah?
    5. Kurangnya asas-asas Tarbiyah hingga kita tidak merasakan kepentingan membina, mendidik dan memperbaiki diri sendiri.
    6. Murabbi kita mungkin kurang menekankan soal Tarbiyah Dzatiyah ini. Sehingga kita anggap sudah cukup dengan sekadar menghadiri program-program Tarbiyah Jama'iyah sahaja.
    7. Kita merasa umur masih muda dan kematian masih jauh, sehingga kita tidak terlalu peduli dengan Tarbiyah Dzatiyah.


  3. Medium Tarbiyah Dzatiyah:


    1. Muhasabah:


      1. Dilakukan secara rutin (seeloknya pada setiap malam sebelum tidur agar kita dapat menilai kehidupan sepanjang hari).
      2. Beberapa Perkara Utama yang perlu dimuhasabah:
  • Kesejahteraan Akidah kita dan kebersihan Tauhid dari Syirik kecil yang tersembunyi.
  • Perlaksanaan kewajipan-kewajipan kita (Solat 5 waktu, Berbakti kepada Ibubapa, Silaturrahim dan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar).
  • Sejauh mana kita menjauhi kemaksiatan dan kemungkaran.
  • Bagaimana dengan ibadah-ibadah Sunat dan ketaatan yang lain.
  1. Jenis-jenis Muhasabah:
  • Muhasabah diri sebelum berbuat sesuatu.
  • Muhasabah diri setelah berbuat sesuatu (ketaatan yang dilalaikan, perbuatan baik yang ditinggalkan, perkara mubah (harus) yang dikerjakan secara berlebihan).
  1. Muhasabah akan perjalanan waktu yang merupakan modal kehidupan kita. Adakah digunakan untuk hal-hal kebaikan dan kemanfaatan, atau sebaliknya.
  2. Ingatlah akan Hisab yang lebih besar di akhirat kelak. Setiap daripada kita pasti akan dihisab amalan di dunia. Oleh itu, marilah kita menghisab diri sebelum kita dihisabkan.


  1. Taubat dari Segala Dosa:
    1. Dosa pada hakikatnya adalah tidak mengerjakan kewajipan-kewajipan Syar'i, atau melalaikannya (tidak kerjakan seperti yang semestinya).
    2. Semua dosa merupakan kesalahan kepada Allah SWT.
    3. Taubat Nasuha: Taubat secara jujur dan serius, yang akan menghapuskan segala kesalahan sebelumnya dan melindungi pelakunya daripada dosa-dosa yang lepas.
    4. Dosa-dosa yang dilakukan kadang-kadang dibalas oleh Allah SWT di dunia lagi, segera ataupun dilambatkan. Kita hendaklah sentiasa beristighfar dan berdoa memohon keampunan Allah SWT agar terlepas dari pembalasan di dunia dan akhirat.
    5. Antara perangkap syaitan untuk menyesatkan manusia adalah dengan cara menipu manusia agar menunda-nunda Taubat dan menganggap masih umurnya masih muda untuk bertaubat.


  2. Mencari Ilmu dan Memperluaskan Pengetahuan:
    1. Ilmu yang benar akan membimbing kita kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
    2. Kita sendiri perlu berinisiatif untuk menambahkan keilmuan (terutamanya Ilmu-ilmu Islam) tanpa mengharapkan arahan/suruhan Murabbi.
    3. Caranya sangat banyak, antaranya adalah:
  • Menghadiri majlis-majlis ilmu, seminar, forum, diskusi dll yang banyak diadakan.
  • Membaca buku-buku Agama dan Ilmiah. Rujuk pada Murabbi kita apakah buku-buku yang sesuai dibaca dan buat sasaran untuk habiskan sekurang-kurangnya satu buku sebulan.
  • Menziarahi para Ulama', Syuyukh, Pemikir dan pengkaji. Berbincang dan minta penjelasan mereka tentang isu-isu berkaitan kepakaran mereka.
  • Mendengar kaset/mp3 dan menonton video ceramah agama dan ilmu.
  1. Perkara yang perlu diperhatikan dalam menuntut Ilmu adalah Ikhlas, rajin dalam meningkatkan pengetahuan, menerapkan Ilmu yang didapati, dan menunaikan hak Ilmu dengan menyampaikan kepada orang lain.
  1. Mengerjakan amal-amal Keimanan:
    1. Melaksanakan amalan-amalan yang wajib sebaik-baik mungkin.
    2. Meningkatkan ibadah-ibadah sunnah (Solat Tahajjud, Dhuha, Rawatib).
    3. Sentiasa berzikir dan bertilawah Al-Qur'an.
    4. Antara perkara-perkara yang perlu diperhatikan adalah melaksanakan setiap ibadah dengan kehadiran jiwa, ruh dan kekhusyukan.
    5. Juga penting untuk kita Tawazun (menyeimbangkan) di antara setiap ibadah. Janganlah disebabkan terlalu menumpukan kepada satu ibadah sahaja, hingga meninggalkan langsung ibadah yang lain.


  2. Memperhatikan aspek-aspek Akhlak:
    1. Kita boleh mentarbiyah diri kita dengan mengamalkan akhlak-aklak yang mulia seperti Sabar dan sentiasa menyucikan hati daripada sifat-sifat mazmumah.
    2. Selalulah bergaul dengan orang-orang yang berakhlak mulia. Insyaallah akhlak-akhlak mulia mereka itu akan melekat kepada kita pula.
    3. Kita juga perlu memperhatikan etika-etika umum yang diamalkan oleh masyarakat.


  3. Terlibat dengan Aktiviti-aktiviti Dakwah:


    1. Merasakan kepentingan dan kewajipan berdakwah.

      Katakan, "Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kepada Allah dengan hujah yang nyata…"
      (Yusuf 12: 108)

    2. Kita ingin mendakwahi manusia kepada Islam. Maka, kita perlu memahami dan mengamalkan Islam. Secara tidak langsung kita telah mentarbiyah diri untuk menjadi lebih baik keislaman kita sebelum mengajak orang lain.
    3. Dalam berdakwah, kita perlu menggunakan segala kesempatan dan peluang. Tidak semestinya berdakwah itu dengan kata-kata, malah senyuman dan akhlak yang baik sangat berkesan dalam mengubah hati mad'u untuk tertarik kepada Islam.
    4. Dalam aktiviti dakwah juga kita akan bergaul dengan aktivis dakwah lain dan mengajar kita beramal jama'i.
  4. Mujahadah (Berjihad/Bersungguh-sungguh):
    1. Sabar adalah bekal bagi mujahadah.
    2. Kita perlu bersabar untuk bermujahadah (menahan diri) daripada melakukan maksiat. Juga perlu mujahadah dalam melaksanakan Ibadah dan dakwah.
    3. Kita juga perlu bertahap dalam melakukan mujahadah (Dilatih dan dikembangkan).
    4. Siapa yang mengambil manfaat dari mujahadah itu? Kitalah pihak pertama dan terakhir yang akan mengambil manfaat daripada mujahadah tersebut.
  5. Berdoa dengan Jujur kepada Allah SWT:
    1. Doa adalah permintaan seorang hamba kepada Allah SWT, pengakuan kekurangan dan kemiskinan dirinya, pernyataan ketidakupayaan dan kelemahan, serta penegasan tentang daya, kekuatan, kudrat, dan nikmat Allah SWT.

      "Iman pasti lusuh di hati salah seorang dari kamu, sepertimana pakaian itu lusuh. Oleh itu, mintalah Allah memperbaharui iman di hati kamu."
      (HR At-Thabrani)

    2. Perkara yang perlu diperhatikan tentang berdoa:
  • Merasakan keperluan diri terhadap doa hingga memungkinkan turunnya pertolongan Allah SWT kepada kita.
  • Memperhatikan waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa (Sepertiga malam, hari Jumaat, ketika berpuasa, ketika bermusafir, ketika hujan turun dll).
  • Memperhatikan syarat-syarat diterima doa (makan makanan yang halal, minta dengan bersungguh-sungguh, menampakkan kelemahan dan kepasrahan kepada Allah, menghadirkan hati, bertaubat dari dosa, cinta dan takut kepadaNya).
  • Jangan tergesa-gesa dan berputus asa jika belum dikabulkan doa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui perkara yang terbaik buat kita semua.
  • Doakanlah kebaikan sesama muslimin yang lain, moga-moga Allah SWT melimpahkan kita dengan kebaikan yang sama.

Wallahu a'lam…

Selamat melakukan "Tarbiyah Dzatiyah!"

Kembali Menulis

on 13.3.11

Lebih kurang genap setahun tidak menulis disini!tiada alasan. Sibuk? mungkin. Malas? mungkin juga.banyak yang nak dicoret bagi membebaskan apa yang terkurung dijiwa yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata~siapa pun yang mahu mendengar?

Ikram juga kurang sebulan sebelum genap setahun umurnya, cepat sungguh masa berlalu rasa bagai baru semalam membisikkan azan ketelinganya. Membesarlah dikau sebagai pewaris perjuangan ini. Melakukan sesuatu yang lebih baik dari kami dan tidak mengulangi kesilapan kami. Kepada Allah kita bertawakal setelah berusaha mempersiapkannya!

Banyak perkara dalam masa setahun ini yang berlaku dan mendewasakan. Gembira, sedih, kecewa, bosan, kembali bersemangat dan segala di lalui, banyak dicurahkan pada lensa kamera buruk alph200 itu.

Moga kembalinya menulis ini bukan hangat-hangat taik ayam. Moga ada sesuatu yang boleh diwariskan dan menjadi saham selepas terputusnya segala kenikmatan dunia. Mungkin juga akan ada yang sekadar luahan perasaan yang anda tidak perlu bazirkan masa untuk membacanya.maaf jika anda menjadi mangsa.


Dan kepada Allah lah dikembalikan segala urusan.