Tarbiyah Dzatiyah

on 21.4.11




Tarbiyah Dzatiyah (Self-Tarbiyah)


Disusun berdasarkan buku:

At-Tarbiyah adz-Dzatiyah Ma'alim wa Taujihat, oleh Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan.

  1. Definisi Tarbiyah Dzatiyah:

"Sejumlah wasilah Tarbiyah yang diberikan seorang Muslim kepada dirinya sendiri, untuk membentuk keperibadian Islam yang sempurna (Ilmu, Iman, Akhlak, Sosial dll) dan naik tinggi ke tingkatan kesempurnaan sebagai manusia."


  1. Ringkasnya, Tarbiyah seseorang terhadap diri sendiri, oleh dirinya sendiri (Self-Tarbiyah).
  2. Tarbiyah Dzatiyah merupakan penerusan terhadap Tarbiyah Jama'iyah (Usrah, Mabit, Daurah, Mukhayyam dll) yang telah diikuti oleh kita.
  1. Kepentingan Tarbiyah Dzatiyah:


    1. Menjaga diri sendiri mestilah didahulukan daripada menjaga orang lain.

      "Hai orang-orang yang beriman, jagalah diri dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…"
      (At-Tahrim 66: 6)

    2. Jika kita tidak mahu mentarbiyah diri sendiri, siapa yang akan mentarbiyah kita?

      "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)…"
      (Al-Hasyr 59: 18)

    3. Hisab Allah SWT di Hari Akhirat kelak bersifat individual.

      "Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri."
      (Maryam 19: 95)


    4. Tarbiyah Dzatiyah sangat efektif kerana kitalah yang paling mengetahui keadaan diri sendiri (Keaiban, kelemahan, Dosa-dosa dan Maksiat yang dirahsiakan) sehingga kita dapat mendidik diri agar mampu menanganinya.
    5. Tarbiyah Dzatiyah adalah wasilah untuk kita terus Tsabat dan Istiqamah dengan ajaran Islam (walau ketika berseorangan dan jauh dari Murabbi/ikhwah).
    6. Tarbiyah Dzatiyah sangat penting kerana ia merupakan salah satu cara yang efektif untuk mendakwahi orang lain. Peribadi yang sentiasa menjadi Qudwah dalam keimanan, akhlak, keilmuan, ibadah dll terhasil antaranya melalui Tarbiyah Dzatiyah.
    7. Tarbiyah Dzatiyah jugalah yang diperlukan untuk memperbaiki realiti umat hari ini yang kian rosak. Setelah individu-individu ini baik keislamannya, maka akan berlaku perubahan di peringkat keluarga, masyarakat dan negara (Bertambah cepat bila digabungkan dengan Tarbiyah Jama'yah).
    8. Tarbiyah Dzatiyah sangat istimewa kerana ia mudah dilakukan, ada pelbagai wasilah dan tidak bergantung kepada masa atau tempat tertentu. (Usrah perlukan masa tertentu, kehadiran orang-orang tertentu dan di tempat tertentu.)


  2. Kenapa Tidak Peduli akan Tarbiyah Dzatiyah?


    1. Minimumnya ilmu Keislaman. Dalam Al-Quran dan Sunnah banyak sekali arahan agar kita mentarbiyah diri sendiri (menjaga keimanan, iltizam dengan ibadah dan berakhlak mulia).
    2. Tidak jelas akan matlamat hidup di dunia ini. Kita akan hidup dengan mengikut-ikut trend manusia kebanyakan dan tidak peduli dengan usaha pembaikan keislaman diri dan pembersihan jiwa.
    3. Hanyut dengan kehidupan dunia. Kita terlalu leka dengan kesibukan dunia dan tuntutannya sehingga kita terlupa (atau ala kadar) untuk beribadah kepada Allah SWT dan memenuhi tuntutan-Nya.
    4. Salahfaham terhadap Tarbiyah Dzatiyah dengan menganggap ia akan membebankan dan menuntut masa yang banyak sehingga menggangu kehidupan seharian kita. Atau juga merasakan bahawa kita telah laksanakan ibadah-ibadah wajib, jadi kenapa masih perlu Tarbiyah Dzatiyah?
    5. Kurangnya asas-asas Tarbiyah hingga kita tidak merasakan kepentingan membina, mendidik dan memperbaiki diri sendiri.
    6. Murabbi kita mungkin kurang menekankan soal Tarbiyah Dzatiyah ini. Sehingga kita anggap sudah cukup dengan sekadar menghadiri program-program Tarbiyah Jama'iyah sahaja.
    7. Kita merasa umur masih muda dan kematian masih jauh, sehingga kita tidak terlalu peduli dengan Tarbiyah Dzatiyah.


  3. Medium Tarbiyah Dzatiyah:


    1. Muhasabah:


      1. Dilakukan secara rutin (seeloknya pada setiap malam sebelum tidur agar kita dapat menilai kehidupan sepanjang hari).
      2. Beberapa Perkara Utama yang perlu dimuhasabah:
  • Kesejahteraan Akidah kita dan kebersihan Tauhid dari Syirik kecil yang tersembunyi.
  • Perlaksanaan kewajipan-kewajipan kita (Solat 5 waktu, Berbakti kepada Ibubapa, Silaturrahim dan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar).
  • Sejauh mana kita menjauhi kemaksiatan dan kemungkaran.
  • Bagaimana dengan ibadah-ibadah Sunat dan ketaatan yang lain.
  1. Jenis-jenis Muhasabah:
  • Muhasabah diri sebelum berbuat sesuatu.
  • Muhasabah diri setelah berbuat sesuatu (ketaatan yang dilalaikan, perbuatan baik yang ditinggalkan, perkara mubah (harus) yang dikerjakan secara berlebihan).
  1. Muhasabah akan perjalanan waktu yang merupakan modal kehidupan kita. Adakah digunakan untuk hal-hal kebaikan dan kemanfaatan, atau sebaliknya.
  2. Ingatlah akan Hisab yang lebih besar di akhirat kelak. Setiap daripada kita pasti akan dihisab amalan di dunia. Oleh itu, marilah kita menghisab diri sebelum kita dihisabkan.


  1. Taubat dari Segala Dosa:
    1. Dosa pada hakikatnya adalah tidak mengerjakan kewajipan-kewajipan Syar'i, atau melalaikannya (tidak kerjakan seperti yang semestinya).
    2. Semua dosa merupakan kesalahan kepada Allah SWT.
    3. Taubat Nasuha: Taubat secara jujur dan serius, yang akan menghapuskan segala kesalahan sebelumnya dan melindungi pelakunya daripada dosa-dosa yang lepas.
    4. Dosa-dosa yang dilakukan kadang-kadang dibalas oleh Allah SWT di dunia lagi, segera ataupun dilambatkan. Kita hendaklah sentiasa beristighfar dan berdoa memohon keampunan Allah SWT agar terlepas dari pembalasan di dunia dan akhirat.
    5. Antara perangkap syaitan untuk menyesatkan manusia adalah dengan cara menipu manusia agar menunda-nunda Taubat dan menganggap masih umurnya masih muda untuk bertaubat.


  2. Mencari Ilmu dan Memperluaskan Pengetahuan:
    1. Ilmu yang benar akan membimbing kita kepada kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
    2. Kita sendiri perlu berinisiatif untuk menambahkan keilmuan (terutamanya Ilmu-ilmu Islam) tanpa mengharapkan arahan/suruhan Murabbi.
    3. Caranya sangat banyak, antaranya adalah:
  • Menghadiri majlis-majlis ilmu, seminar, forum, diskusi dll yang banyak diadakan.
  • Membaca buku-buku Agama dan Ilmiah. Rujuk pada Murabbi kita apakah buku-buku yang sesuai dibaca dan buat sasaran untuk habiskan sekurang-kurangnya satu buku sebulan.
  • Menziarahi para Ulama', Syuyukh, Pemikir dan pengkaji. Berbincang dan minta penjelasan mereka tentang isu-isu berkaitan kepakaran mereka.
  • Mendengar kaset/mp3 dan menonton video ceramah agama dan ilmu.
  1. Perkara yang perlu diperhatikan dalam menuntut Ilmu adalah Ikhlas, rajin dalam meningkatkan pengetahuan, menerapkan Ilmu yang didapati, dan menunaikan hak Ilmu dengan menyampaikan kepada orang lain.
  1. Mengerjakan amal-amal Keimanan:
    1. Melaksanakan amalan-amalan yang wajib sebaik-baik mungkin.
    2. Meningkatkan ibadah-ibadah sunnah (Solat Tahajjud, Dhuha, Rawatib).
    3. Sentiasa berzikir dan bertilawah Al-Qur'an.
    4. Antara perkara-perkara yang perlu diperhatikan adalah melaksanakan setiap ibadah dengan kehadiran jiwa, ruh dan kekhusyukan.
    5. Juga penting untuk kita Tawazun (menyeimbangkan) di antara setiap ibadah. Janganlah disebabkan terlalu menumpukan kepada satu ibadah sahaja, hingga meninggalkan langsung ibadah yang lain.


  2. Memperhatikan aspek-aspek Akhlak:
    1. Kita boleh mentarbiyah diri kita dengan mengamalkan akhlak-aklak yang mulia seperti Sabar dan sentiasa menyucikan hati daripada sifat-sifat mazmumah.
    2. Selalulah bergaul dengan orang-orang yang berakhlak mulia. Insyaallah akhlak-akhlak mulia mereka itu akan melekat kepada kita pula.
    3. Kita juga perlu memperhatikan etika-etika umum yang diamalkan oleh masyarakat.


  3. Terlibat dengan Aktiviti-aktiviti Dakwah:


    1. Merasakan kepentingan dan kewajipan berdakwah.

      Katakan, "Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kepada Allah dengan hujah yang nyata…"
      (Yusuf 12: 108)

    2. Kita ingin mendakwahi manusia kepada Islam. Maka, kita perlu memahami dan mengamalkan Islam. Secara tidak langsung kita telah mentarbiyah diri untuk menjadi lebih baik keislaman kita sebelum mengajak orang lain.
    3. Dalam berdakwah, kita perlu menggunakan segala kesempatan dan peluang. Tidak semestinya berdakwah itu dengan kata-kata, malah senyuman dan akhlak yang baik sangat berkesan dalam mengubah hati mad'u untuk tertarik kepada Islam.
    4. Dalam aktiviti dakwah juga kita akan bergaul dengan aktivis dakwah lain dan mengajar kita beramal jama'i.
  4. Mujahadah (Berjihad/Bersungguh-sungguh):
    1. Sabar adalah bekal bagi mujahadah.
    2. Kita perlu bersabar untuk bermujahadah (menahan diri) daripada melakukan maksiat. Juga perlu mujahadah dalam melaksanakan Ibadah dan dakwah.
    3. Kita juga perlu bertahap dalam melakukan mujahadah (Dilatih dan dikembangkan).
    4. Siapa yang mengambil manfaat dari mujahadah itu? Kitalah pihak pertama dan terakhir yang akan mengambil manfaat daripada mujahadah tersebut.
  5. Berdoa dengan Jujur kepada Allah SWT:
    1. Doa adalah permintaan seorang hamba kepada Allah SWT, pengakuan kekurangan dan kemiskinan dirinya, pernyataan ketidakupayaan dan kelemahan, serta penegasan tentang daya, kekuatan, kudrat, dan nikmat Allah SWT.

      "Iman pasti lusuh di hati salah seorang dari kamu, sepertimana pakaian itu lusuh. Oleh itu, mintalah Allah memperbaharui iman di hati kamu."
      (HR At-Thabrani)

    2. Perkara yang perlu diperhatikan tentang berdoa:
  • Merasakan keperluan diri terhadap doa hingga memungkinkan turunnya pertolongan Allah SWT kepada kita.
  • Memperhatikan waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa (Sepertiga malam, hari Jumaat, ketika berpuasa, ketika bermusafir, ketika hujan turun dll).
  • Memperhatikan syarat-syarat diterima doa (makan makanan yang halal, minta dengan bersungguh-sungguh, menampakkan kelemahan dan kepasrahan kepada Allah, menghadirkan hati, bertaubat dari dosa, cinta dan takut kepadaNya).
  • Jangan tergesa-gesa dan berputus asa jika belum dikabulkan doa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui perkara yang terbaik buat kita semua.
  • Doakanlah kebaikan sesama muslimin yang lain, moga-moga Allah SWT melimpahkan kita dengan kebaikan yang sama.

Wallahu a'lam…

Selamat melakukan "Tarbiyah Dzatiyah!"

Kembali Menulis

on 13.3.11

Lebih kurang genap setahun tidak menulis disini!tiada alasan. Sibuk? mungkin. Malas? mungkin juga.banyak yang nak dicoret bagi membebaskan apa yang terkurung dijiwa yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata~siapa pun yang mahu mendengar?

Ikram juga kurang sebulan sebelum genap setahun umurnya, cepat sungguh masa berlalu rasa bagai baru semalam membisikkan azan ketelinganya. Membesarlah dikau sebagai pewaris perjuangan ini. Melakukan sesuatu yang lebih baik dari kami dan tidak mengulangi kesilapan kami. Kepada Allah kita bertawakal setelah berusaha mempersiapkannya!

Banyak perkara dalam masa setahun ini yang berlaku dan mendewasakan. Gembira, sedih, kecewa, bosan, kembali bersemangat dan segala di lalui, banyak dicurahkan pada lensa kamera buruk alph200 itu.

Moga kembalinya menulis ini bukan hangat-hangat taik ayam. Moga ada sesuatu yang boleh diwariskan dan menjadi saham selepas terputusnya segala kenikmatan dunia. Mungkin juga akan ada yang sekadar luahan perasaan yang anda tidak perlu bazirkan masa untuk membacanya.maaf jika anda menjadi mangsa.


Dan kepada Allah lah dikembalikan segala urusan.

Mampukah perjanjian damai?

on 11.3.10

Mari kita mengulangkaji sejarah perlanggaran piagam-piagam dan perjanjian-perjanjian oleh pihak Zionist Israel (Israel) yang kononnya inginkan perjanjian damai serta diplomasi dalam menyelesaikan isu di Palestin.

Pelanggaran Israel terhadap Undang-Undang Antarabangsa


Resolusi 181 – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya memperuntukkan 55% dari negara Palestin kepada pandatang Yahudi. Tetapi, Israel telah menawan lebih banyak daripada peruntukan itu iaitu sebanyak 77% selepas berjaya memengani peperangan pada tahun 1948 antara Penduduk Arab. Sebuah persetujuan yang ditaja oleh Amerika Syarikat iaitu Rhodes Armistice (Perjanjian Damai Rhodes) pada tahun 1949 meluluskan tambahan wilayah yang dikuasai oleh Israel.

Resolusi 194 (III) –Keizinan diberikan kepada pelarian Palestin untuk kembali ke rumah-rumah mereka selepas 800,000 rakyat palestin diusir oleh pengganas yahudi selepas perang 1948. Kini setelah 61 tahun resolusi ini diluluskan, Israel masih tidak membenarkan pelarian tersebut pulang. Bilangan pelarian Palestin di khemah-khemah pelarian di Jordan, Syria dan Lebanon kini telah mencecah lebih dari lima juta orang.

Resolusi 242 - Pengishtiharan pendudukan Israel di baitul Maqdis timur (seluruh Tebing Barat dan Semenanjung Gaza) adalah tidak sah dan Israel wajib berundur ke garisan Hijau seperti yang dipersetujui dalam perjanjian Rhodes pada tahun 1949. Sehingga hari ini Israel masih berdegil.

Resolusi 237 - PBB menolak pendudukan Baitul Maqdis dan pengisytiharan Israel sebagai ibu negara.

Resolusi 405 - Pada tahun 1988, PBB secara jelasnya memperakui Baitul Maqdis sebagai wilayah Palestin yang diduduki.

Israel telah mengistihar Baitul Maqdis sebagai ibu negara abadi Israel pada 30 Julai 1967. Pengisytiharan Israel ini diperakui oleh pentadbiran Bush apabila Presiden Bush menandatangani The State Department authorization Act (HRH 1646) pada 30 September 2002, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Presiden-Presiden sebelum beliau. Natijah dari akta tersebut, arahan dikeluarkan agar semua dokumen rasmi Amerika Syarikat mesti merujuk Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.

Liga Negara-Negara (League of Nations), badan dunia yang mendahului PBB telah membuat penyiasatan pada tahun 1937 ke atas kedudukan ’Tembok Al-Buraq’ (tempat Nabi Muhammad s.a.w. mengikat tunggangannya dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj) dan mengesahkan ia sebagai warisan yang dimiliki umat Islam.

Israel kini berita-cita untuk merobohkannya dan menggantikan dengan sinagog mereka yang diberi nama 'Haikal Sulaiman'. Dalam hal ini Israel telah meletakkan tuntutan ke atas ’Tembok Tangisan’ (Wailing Wall) iaitu sebahagian daripada tembok sebelah barat Haram Al-Sharif.

Apabila berlaku rusuhan Tembok Buraq (The wailing wall’s riot) pada tahun 1929, Suruhanjaya yang dibentuk oleh Israel juga menuntut kedaulatan ke atas ’kawasan Yahudi’ yang terletak di sebelah barat Haram Al-Sharif. Kawasan ini pada asalnya merupakan kawasan Arab, dan penempatan Yahudi dibina di atas tanah wakaf umat Islam. Tidak ada sebidang tanah pun yang menjadi milik Israel atau Yahudi.

Perjanjian Oslo 1993 - Israel akan menghentikan pembinaan penempatan Yahudi di baitul Maqdis timur dan Tebing Barat. Tetapi, Israel giat mendirikan penempatan tambahan Yahudi selepas Oslo.

Kes pembinaan perumahan Yahudi di Jebel Abu Gneim (Yahudi merujuknya sebagai Har Homa) di Baitul Maqdis dan di tempat-tempat lain adalah isyarat jelas bahawa Israel mengolok-olokkan Perjanjian Oslo ciptaan mereka sendiri.

Tujuh tahun pasca Oslo, bilangan pendatang Yahudi di Tebing barat meningkat sekitar 100,000 orang kepada sekali ganda dari bilangan tersebut. Selain itu, Oslo juga mensasarkan dalam tempoh lima tahun selepas Oslo (1998), status muktamad negara Palestin akan diputuskan berdasarkan kepada Resolusi 242 dan 338 iaitu Israel akan berundur sepenuhnya dari wilayah yang diduduki pada tahun 1967. Kini (2010) iaitu 17 tahun pasca Oslo, negara Palestin merdeka yang dijanjikan tetap menjadi fatamorgana yang memperdayakan.

Tahun 1999 - Regim zionis telah membuat penegasan berikut yang amat jelas bertentangan dengan isi kandungan perjanjian Oslo iaitu:

1. Israel sama sekali tidak akan berundur daripada sempadan sebelum 6 Jun 1967 (tarikh bermulanya Perang Enam Hari, 1967);
2. Baitul Maqdis kekal sebagai bandaraya yang disatukan di bawah kedaulatan Israel sebagai ibu negara Israel
3. Penempatan Yahudi (di wilayah yang diduduki) kekal di bawah kedaulatan Israel.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice (IJC) memutuskan bahawa tembok pemisah yang dibina oleh Israel sebagai melanggar hak-hak rakyat Palestin dan perlu dirobohkan

Israel telah menubuhkan tembok Apartheid yang memisahkan penempatan-penempatan Yahudi di Baitul Maqdis Timur dan di sepanjang Tebing Barat yang bersempadan dengan Israel (sempadan wilayah yang diduduki pada tahun 1949).

Israel cuba berdolak-dalih dengan mendakwa tembok yang dibina sebenarnya adalah ‘pagar’ (fence) sementara dan bukannya ‘tembok’ (wall). Namun, hakikatnya tembok itu membawa implikasi pendudukan kekal Israel ke atas 43% dari wilayah Tebing Barat dan meletakkan baki 57% lagi dalam daerah-daerah yang terpisah-pisah.

Untuk meyakinkan dunia tentang sikap perikemanusiaan dan belas kasihan, Israel menyediakan 41 pintu-pintu pertanian untuk rakyat Palestin menguasaha ladang mereka. Hakikatnya tembok itu bukan sahaja memisahkan di antara keluarga rakyat Palestin, malah menyebabkan mereka kehilangan tanah pertanian mereka yang tidak lagi boleh diusahakan. Tembok itu memberi laluan kepada Israel untuk mengambil alih lebih banyak kawasan Arab yang dikepungnya.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1860 - Saluran barangan keperluan dan agihannya di seluruh Gaza mestilah berlaku tanpa sebarang sekatan, dan ini termasuk makanan, bahan api dan keperluan perubatan.

Kini Israel mengenakan sekatan ekonomi menyeluruh dan mengepung Gaza dengan menutup semua laluan udara, laut dan jalan darat sejak dari tahun 2007 sehingga menjerumuskan Gaza ke dalam krisis makanan, ubat-ubatan dan lain-lain bahan keperluan asas yang kritikal.

Amerika Syarikat yang kononnya mempertahankan hak asasi manusia berdasarkan Deklarasi hak Asasi Manusia sejagat (Universal Human Rights Declaration 1948) hanya melihat sahaja tindakan biadap Israel mengenakan sekatan ekonomi ke atas gaza, bahkan melakukan serangan paling ganas ke atas gaza pada penghujung tahun 2008 dan awal tahun 2009 menyebabkan 1,500 penduduk Gaza terbunuh separuh dari mereka adalah wanita dan kanak-kanak.

Jadi, siapakah pengganas sebenar dan siapa mangsa keganasan? sehingga tiada satu jaminan yang kukuh..mana mungkin jalan perjanjian damai boleh diyakini lagi.

Dakwah itu Cinta

on 17.2.10


Dalam meniti jalan dakwah panjang ini sering kita kali kita di kejutkan dengan ujian dan dugaan yang cukup bisa menggoyahkan langkah-langkah kita. Kita sering menilai apa yang dilakukan oleh orang lain untuk dakwah ini dan membandingkan dengan apa yang kita perolehi dalam usrah dan tarbiyah sehingga suatu ketika kita terlupa untuk menilai usaha kita,pengorbanan kita dan segala yang berkaitan dengan amal kita. Na`uzubillah. Kita juga sering terbeban oleh perasangka terhadap orang lain. Mengapa Muharrik ad-Dakwah masih dibebani perasaan ini?bebaskanlah diri kalian dari belenggu itu..Dakwah itu seharusnya dipenuhi oleh bunga-bunga cinta!

Dakwah itu Cinta

Dakwah bukan suatu yang dilakonkan, ia lahir dari perasaan yang membentuk kesedaran dan dipandu oleh kefahamaan. Dakwah itu nafas kehidupan, Tarbiyah adalah sendi perjuangan, Anti kezaliman adalah naluri orang berakal. Ia perlu sebati dalam diri supaya, tiap titis pengorbanan diatas jalan ini meski perih dan sakit akan menjadi manis, semanis madu. Ikhwani filLah, untuk menghidupkan nafas seperti ini tidak mungkin lahir dari hanya didalam lingkungan bulatan-bulatan kecil yang dilimpahi tulisan dan anak panah semata! ia perlu dimurnikan dengan turun ke medan-medan amali, infaq dikala senang dan sukar. Semangat pemuda tidak harus dikurung dan dibelenggu "Wahai pemuda!!! Sesungguhnya dasar keimanan adalah nurani yang menyala, Dasar keikhlasan adalah hati yang yang bertaqwa, Dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, Dasar amal adalah kemahuan yang kuat, Semua itu tidak lain terdapat pada diri pemuda" kata Pak Hasan.

Dakwah itu cinta, dan tidak ada dakwah tanpa cinta. Hati itu sumber cahanya dan kebaikan. Kemudian urusan itu berkembang lebih jauh lagi, dari ke arah berlapang dada kemudian kepada al-ithar (mengutamakan saudaranya). Kerana itulah dakwah yang bukan disulami cinta akan melahirkan kebencian dan kesmpitan hati membawa kepada perpecahan. Daei memerlukan hati yang cukup luas untuk menampung hati-hati yang mad'u dan ikhwah yang lain. Bila ithar dan husnudzon itu memenuhi jiwa daei itu tandanya pohon Cinta Dakwah sedang subur mekar di hati mereka.

Sebenarnya, banyak hati-hati manusia yang tersorok, yang terasing, dan dilupakan. Apabila Allah menghendaki mendapat hembusan seruan dakwah, sentuhan dari tangan yang lembut dan pandangan yang redup, die mudah menguntum dan mekar laksana sekuntum bunga yang sedang mekar, lantas jiwa-jiwa itu akan mengadap laksana mengadapnya siang hari dan perasaan itu mengalir laksana mengalirnya sungai-sungai. Lahirnya fitrah kemanusiaan menurut hakikatnya yang Rabbani, yang memancarkan cahaya dengan petunjuk Al-Haq lalu bangkit membina dan membangun."nahnu duat walaisa qudat" kita adalah daei dan bukan qadi. Ikhwani Fillah, kita serahkan sahaja kepada Qadi untuk melaksanakan amanah yang di letakkan di bahu mereka untuk menghukum. Pandanglah mad'u kalian dengan pandangan kasih sayang, simpatilah dengan mereka yang melakukan maksiat dan rasa bertanggungjawablah untuk berusaha menjadi penyebab kepada sampainya hidayah di jiwa mereka.

"Maka demi Allah, sekiranya Allah memberi hidayah disebakan kamu, kepada seorang lelaki adalah lebih baik untukmu daripada memilki unta-unta merah (ferarri) ."

[sohih al-Bukhari]

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?’ Mereka menjawab,’Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Rabb-mu, dan supaya mereka bertaqwa.”

(Q.S Al A’raf:164)

Cinta seorang Rasul

"Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu, sangat mengambil berat dia terhadap sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada kamu, amat sangat menginginkannya semua perkara yang baik bagi kamu dan kepada orang mukmin amat sayang baginda terhadap mereka"

(At-Taubah: 128)

Dalam ayat-ayat di atas, al-Quran menggunakan perkataan ‘Rauf’ dan ‘Rahim’ untuk menegaskan maksud kasih sayang yang menunjangi susuk keperibadian Nabi terutamanya dalam hubungan sesama golongan yang beriman. Tafsir Ibn Kathir, ‘Rauf’ disebut sebagai ‘Shiddatur Rahmah’ atau kasih sayang yang mencapai tahap tertinggi berteraskan keimanan seutuhnya kepada Allah.Ini bermakna kasih sayang dalam pengertian hubungan sesama umat diikat atas asas keimanan dan ketakwaan kepada Allah.Adakah contoh yang lebih baik dari Baginda? Itu lah keperibadian daei dan murobbi yang tiada bandingan, kitalah pewaris amanah ini yang harus menjelmakan peribadi dakwah yang paling menhampiri baginda.

sudahkah anda bercinta?

Fardi dalam Jamae`i

on 16.2.10


Dalam satu kesatuan amal jamae’i ada orang yang mendapatkan nilai tinggi karena ia betul-betul sesuai dengan tuntutan dan adab amal jama’i. Kejujuran, kesuburan, kejernihan dan kehangatan ukhuwahnya betul-betul terasa. Keberadaannya
menggairahkan dan menenteramkan. Namun perlu diingat, walaupun telah bekerja dalam jaringan amal jamae`i, namun pertanggungjawaban amal kita akan dilakukan di hadapan Allah SWT secara fardi atau individu.oleh itu janganlah ada diantara ahli yang yang bersama dengan gerakan dakwah ini terlalu menumpukan kekuatan pada gerakan secara jamae`i tanpa berusaha meningkatkan kualiti dirinya. Ingatlah akan pesan Rasulullah SAW: Man abtha-a bihi amaluhu lam yusri’ bihi nasabuhu (Siapa yang lambat atau "stagnant" dalam beramal tidak akan dipercepat oleh nasabnya ).

Intipati tarbiah itu sendiri adalah mengharuskan seseorang lebih berdaya untuk meningkatkan dirinya, bukan terus-menerus menempel dan bergantung pada orang lain. Meskipun kebersamaan itu merupakan sesuatu yang baik tapi ada saatnya kita tidak dapat bersama, demikian sunahnya amal dakwah ini. Kerana jikalau mereka mahu, para sahabat Rasulullah SAW boleh sahaja menetap dan wafat di Madinah, atau terus menerus ber-mulazamah tinggal di masjidil Haram yang nilainya amal di situ itu beratus-ribu kali ganda atau di Masjid Nabawi yang pahalanya beribu kaliganda dari tempat-tempat lain. Tapi mengapa makam para Sahabat tidak banyak berada di Baqi atau di Ma’la. Tetapi makam mereka banyak bertebaran jauh, beribu-ribu batu dari negeri mereka.

Ummat yang terbaik bukan untuk disembunyikan tapi untuk ditampilkan kepada seluruh ummat manusia. Inilah sesuatu yang sangat perlu kita jaga dan perhatikan. Kita semua beramal tapi tidak larut dalam kesendirian. Hendaklah ketika sendiri kita selalu mendapat cahaya dan menjadi cahaya yang menyinari lingkungan sekitarnya. limpahkanlah fikrah yang di kumpulkan di medan tarbiyah itu sehingga kalian menjadi rahmatan lil 'alamin

Jangan ada lagi kader yang mengatakan, saya jadi buruk begini karena lingkungan atau persekitaran yang tidak membina. Mengapa tidak berkata sebaliknya, karena lingkungan seperti itu, saya harus mempengaruhi lingkungan itu dengan pengaruh yang ada pada diri saya. Seharusnya dimanapun dia berada ia harus berusaha membuat lingkuangan kebaikan, lingkuangan cahaya, lingkuangan ilmu, lingkuangan akhlak, lingkuangan taqwa, lingkuangan al-haq, setelah kawasan-kawasan tadi menjadi sempit dan gelap oleh lingkuangan jahiliyah, kezaliman, kebodohan dan hawa nafsu. Demikianlah ciri2 muharrik ad-Da`wah dalam gerakan kita, dimanapun dia berada terus menerus memberi makna kehidupan. Seperti sejarah da’wah ini, tumbuh dari seorang, dua orang kemudian menjadi beribu-ribu sehingga menjadi berjuta-juta orang.

Sangat indah ungkapan Imam Syahid Hasan Al Banna, “Antum ruhun jadidah tarsi fi ja-sadil ummah”. Kamu adalah ruh baru, kamu adalah jiwa baru yang mengalir di tubuh ummat, yang menghidupkan tubuh yang mati itu dengan Al-Qur’an.

Jangan ada sesudah ini, kader yang hanya memenuhkan perhimpunan yang besar untuk merasakan kewujudan dirinya. Tapi, dimanapun dia berada ia tetap merasakan sebagai hamba Allah SWT, ia harus memiliki kesadaran untuk menjaga dirinya dan taqwanya kepada Allah SWT, baik dalam keadaan bersendirian mahupun dalam keadaan bersama orang ramai. Kemanapun ia pergi, ia tak merasa kesunyian atau terasing, keranana Allah senantiasa bersamanya. Bahkan ia dapat merasa kebersamaan rasul-Nya, ummat dan alam semesta setiap masa.

Kehebatan Namrud dimata Nabi Ibrahim AS tidak ada ertinya, tidaklah Baginda berasa bersendirian. ALLAH bersamanya dan alam semesta selalu bersamanya. Api yang berkobar-kobar yang dinyalakan oleh Namrud untuk membinasakan dirinya, ternyata bersama dengannya dalam menunaikan tugas pengabdian kepada ALLAH.Lihat sahaja bagaimana sepatutnya api tersebut menghanguskannya tidak melakukan yang sedemikian, malahan menjadi “bardan wa salaman” (penyejuk dan penyelamat). Karena itu, kader sejati harus yakin bahwa Allah SWT akan sentiasa membuka jalan bagi muharrik Da’wah sesuai dengan janji-Nya, In tansurullah yansurukum wayu sabit akdamakum (Jika kamu meno-long Allah, Ia pasti akan menolongmu dan mengokohkan langkah kamu)

Semoga para kader sentiasa mendapatkan perlindungan dan bimbingan dari Allah SWT ditengah derasnya arus dan badai kebejatan ummat. Kita harus yakin sepenuhnya akan pertolongan Allah SWT dan bukan yakin dan percaya pada diri sendiri. Masukkan diri kedalam benteng-benteng kekuatan usrah atau halaqah tempat Junud Da’wah melingkar dalam suatu benteng perlindungan, menghimpun bekal dan ketahanan diri untuk terjun ke medan pertarungan Haq dan bathil yang berat dan menuntut pengorbanan.

Disanalah kita mentarbiah diri sendiri dan generasi mendatang. Inilah sebagian penghibur kesedihan ummat yang berpanjangan, dengan munculnya generasi baru. Generasi yang siap memikul beban da’wah dan menegakan Islam. Inilah harapan baru bagi masa depan yang lebih gemilang, dibawah naungan Alqur-an dan cahaya Islam rahmatan lil alamin.