perang??

on 12.6.07


BAITULMAQDIS 11 Jun – Israel awal hari ini melancarkan satelit baru yang dilengkap dengan peranti yang mampu mengintip Iran dan Syria – dua negara jiran yang menjadi sasaran rejim Yahudi dan Amerika Syarikat (AS).
Satelit Ofek-7 itu didakwa mampu menghantar gambar beresolusi tinggi ke bumi pada ketinggian 200 hingga 500 kilometer menjelang hujung minggu ini.
“Pelancaran ini mampu mempertingkatkan keupayaan pertahanan dan menjadi bukti Israel miliki kuasa teknologi,” kata Menteri Pertahanan, Amir Peretz.
Satelit Ofek-7 seberat 300 kilogram itu yang dibangunkan Israel Aircraft Industries dilancar menggunakan roket Shavit dari pangkalan Palmahim, selatan Tel Aviv.


Iran, Syria sasaran Israel -- Rejim Yahudi lancar satelit baru intip negara jiranSATELIT risikan terbaru Israel, Ofek 7 ketika dilancarkan dari Palmahim, selatan Israel awal semalam.


“Ia sebagai tambahan kepada satelit Ofek-5 yang dilancar pada tahun 2002 dengan kemampuan melakukan pemantauan ke atas negara yang lebih jauh termasuk Iran,” kata seorang sumber tentera.
Ketua Direktorat Angkasa Lepas di Kementerian Pertahanan, Haim Eshed berkata, “Ofek-7 dapat membantu Israel berurusan dengan isu Iran.”
Rejim Tel Aviv turut memantau jirannya, Syria berhubung sebarang aktiviti tentera berhampiran sempadan berikutan perang dengan pejuang Hizbullah yang juga sekutu Damsyik di selatan Lebanon.
Rejim Tel Aviv menganggap Teheran sebagai musuh berikutan beberapa kenyataan keras oleh kerajaan Iran berhubung negara Yahudi itu termasuk syor menghapus wilayahnya daripada peta.
Israel yang dianggap kuasa tentera di Asia Barat juga menuduh program nuklear Iran bertujuan menghasilkan senjata atom.
Pada April 2006, rejim Tel Aviv turut melancarkan satelit D3 Eros B1 yang dipercayai mampu mengintip aktiviti nuklear Iran.
Pengarah Agensi Angkasa Lepas Israel, Isaac Ben-Israel berkata, Ofek-7 menggabungkan kepadatan – pada berat 300 kilogram – dengan kamera canggih yang boleh merakam objek “yang bersaiz beberapa sentimeter.”
“Ia merupakan satelit tunggal di dunia dengan berat dan keupayaan sebegini. Standard ini hanya terdapat pada satelit Amerika Syarikat (AS) yang lebih berat,” kata Ben-Israel.
Beliau juga membayangkan satelit terbaru ini akan mempertingkat perkongsian maklumat perisikan antara Israel dengan AS.
– Agensi

0 comments: