“Apa pendapat saudara tentang isu baju kurung sekolah perempuan?”
Saya mengerutkan dahi dan kemudian bertanya kepadanya semula. “Pendapat yang bagaimana yang kamu hendak? Menyokong atau membantah?”
“Erm. Saya ada baca tiga pendapat yang berlainan. Satu daripada yang mengutarakan isu iaitu HEWI PKPIM. Pihak kedua adalah Muslimat PAS yang kelihatan menyokong tetapi pendapat ketiga adalah daripada Wanita JIM yang nampaknya membantah cadangan tersebut.”
Saya menarik nafas panjang-panjang dan melepaskan perlahan-lahan. Betul, baru semalam juga saya membaca pendapat Wanita JIM tersebut di emel saya. Saya cuba menyusun semula pendapat-pendapat yang diutarakan oleh tiga pihak ini.
“Baju berwarna putih sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ. Lebih-lebih lagi ia (baju jarang) akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan.” –Munirah Bahari(HEWI PKPIM)-
“Kita tidak dapat menafikan bahawa material (bahan) kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya apabila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka.” –Muslimat PAS-
“Baju kurung seragam berwarna putih telah sekian lama dipakai tanpa menimbulkan sebarang masalah. Masalah sosial dan gejala seksual yang semakin meruncing di kalangan pelajar sebenarnya berpunca dari krisis nilai, hakisan pegangan agama dan moral yang sedang hebat melanda masyarakat kini,” –Dr. Harlina Siraj(Wanita JIM)-
Fokus pada persamaan
Setiap pihak ada hujah mereka sendiri dan kesemua hujah tersebut adalah betul mengikut pengalaman dan perbincangan lanjut di antara mereka(dalam kumpulan). Beberapa blogger awal-awal lagi sudah menghukum Wanita JIM sebagai tidak sehaluan, bermasalah dan sebagainya.
“Jadi kamu pening memilih mana satu pendapat?” Saya tersenyum sendirian sambil menghadap monitor komputer.
“Ya!”
“Kalau begitu, bagi saya ketiga-tiga pendapat adalah betul dan ketiga-tiganya sekali saya terima.”baju kurung sekolah
“Bagaimana saudara boleh menerima ketiga-tiga pendapat tersebut?” soalnya.
“Cari persamaan bukannya perbezaan.”
Bersatulah kamu semua di atas tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah. (Ali-Imran : 103)
Dalam menilai setiap pendapat, apa yang perlu kita utamakan terlebih dahulu adalah persamaan yang wujud. Bukannya mencari perbezaannya dan kemudian menghentam satu pihak yang kelihatan pendapatnya tidak kena dengan jiwa kita.
Pendapat diutarakan berdasarkan pengalaman
“Aduh, naif sungguh pendapat ini. Malang bagi mereka kerana tidak dapat mengembangkan perbincangan mereka kepada perkara yang lebih praktikal!” Ujar seorang blogger, menafikan pendapat Dr. Harlina Siraj.
“Mungkin juga beliau terlupa bahawa beliau dikelilingi oleh golongan-golongan yang memang berpakaian baik dan berfahaman tinggi tentang garis panduan pemakaian, maka suatu undang-undang tidak lagi diperlukan.” Ujarnya lagi.
Seperti yang telah saya tulis pada awal entri ini lagi. Setiap pihak apabila mengeluarkan pendapat kepada media dengan menggunakan nama kumpulan masing-masing sudah tentunya telah membuat perbincangan sesama mereka.
Saya mengenali Wanita JIM dengan pelbagai usaha mereka dalam membentuk kesedaran dengan pelbagai program. Begitu juga dengan HEWI PKPIM dan Muslimat PAS. Mereka mengutarakan pendapat mereka mengikut hasil perbincangan dan pengalaman setiap kumpulan masing-masing.
Saya meminta agar setiap pendapat mereka dibaca dengan teliti. Bukan baca dengan cara scanning dari atas ke bawah sahaja dan kemudian terus membuat penilaian. Kadang-kadang ada perkara penting yang kita terlepas pandang.
Apa persamaan antara tiga pendapat ini
HEWI PKPIM mengutarakan pendapat supaya warna baju tersebut ditukar kerana kelihatan seksi. Muslimat PAS pula berpendapat isunya bukanlah warna baju tetapi jenis kain yang digunakan.
Wanita JIM pula mengutarakan pendapat yang hampir sama dengan Muslimat PAS, baju kurung berwarna putih tidak perlu ditukar. Tetapi pendedahan tentang ajaran Islam, moral dan pegangan agama yang kukuh yang perlu diberi perhatian.
Apa yang salah pada ketiga-tiga pendapat ini? Semuanya saling berkaitan. Kalau hendak dikatakan Wanita JIM menolak cadangan HEWI PKPIM tersebut, kenapa tidak berkata begitu juga kepada Muslimat PAS?
Kita perhatikan lagi pendapat ketiga-tiga pihak ini.
“Jika kementerian ingin mengekalkan seragam warna putih, katanya, PKPIM mencadangkan pelajar perempuan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung yang labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat.” –Malaysiakini.com-
“Aiman Athirah Al Jundi(Muslimat PAS) berkata isunya bukan warna baju pelajar itu tetapi jenis kainnya yang jarang dan menarik perhatian.” –Malaysiakini.com-
“Namun tidak dapat dinafikan, hari ini terdapatnya segelintir pelajar sekolah yang tidak mematuhi norma-norma serta etiket cara berpakaian yang sewajarnya. Berpakaian seragam baju kurung putih yang agak jarang tanpa memakai pakaian dalam / camisole atau tudung yang sempurna, akan menampakkan baju dalam dan susuk tubuh yang tentunya kurang sesuai dan tidak manis dipandang mata di khalayak umum.” –Wanita JIM-
Jadi, nilailah pendapat ketiga-tiga pihak ini dengan sewajarnya. Jika diperhatikan, tiada perbezaan yang besar pun antara ketiga-tiga pendapat. Semuanya tetap menginginkan yang terbaik buat generasi yang datang. Perkara paling pokok dalam isu ini adalah beri kefahaman kepada remaja dan juga ibu bapa tentang adab menutup aurat.
Kesimpulan
Saya amat berharap jika Muslimat PAS, ABIM dan Wanita JIM dapat berkumpul dan duduk berbincang jika ingin isu ini berakhir dalam keadaan yang baik. Pihak lain juga tidak perlu melenting tanpa sebab terhadap isu ini.
Kalau pada pendapat saya sendiri pun, isunya bukanlah warna kain tetapi jenis kain yang digunakan. Mungkin kementerian boleh membuat rombakan terhadap jenis kain yang dijual di kedai untuk kegunaan bagi membuat baju seragam sekolah perempuan.
Bagi pihak HEWI PKPIM, mungkin mereka boleh buat pungutan suara secepat mungkin dalam kalangan pelajar sekolah termasuk pihak pentadbiran sekolah. Pihak-pihak lain pula boleh memperhebatkan lagi program-program kesedaran tentang menutup aurat.
Teringat kata-kata kawan sekolah rendah saya, “Baju pengawas sekolah berwarna biru pun ada yang jarang juga.”
Hak cipta terpelihara © StudioMuslim.com (2007 – 2008)
Azree Hanifiah
penulis merupakan ahl-baytul fareed :)
juga ajk karisma international
Labels: ummah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment